This is my latest short story (published in Mingguan Malaysia, Jan 13, 2013). I must admit it was not easy writing this because I went through writer's block and also I was dealing with fragments of my family history (Ngah Tupin, De Misong are real names but the fiction here isn't their lives.That we will have a sequel ~ if there's a demand.Ahaks). I must thank Nash, Saniah, Mawar for their early responses/comments (even if only to say we like it! Nash gave some ideas merepek but they gave me the boost I needed to finish up the fiction).
I hope you'll enjoy this piece. :)
********************************************************************
TIADA siapa tahu kerja sebenar Aji Kitul. Tetapi setiap senja, dia di tepi tebing menjala ikan di sungai yang berlumpur. Tiada siapa tahu berapa ekor yang ditangkapnya setiap senja tanpa rasa jemu.
Di bulan purnama, Aji Kitul akan duduk di dalam perahunya. Tiada siapa tahu mengapa dia berbuat demikian. Aji Kitul hidup sebatang kara dalam usianya yang hampir mencecah 70. Kulitnya sudah berkedut, kepalanya sentiasa berserban. Dia belum naik haji tetapi masyarakat memberikannya gelaran Aji kerana serbannya itulah. Tiada siapa pernah nampak Aji Kitul solat. Di pagi raya, orang hanya nampak beliau membersihkan selipar berlumpurnya sahaja selepas dan sebelum solat raya. Tiada siapa tahu mengapa dia berbuat demikian. Tiada siapa pun perduli. Orang kampung melihatnya sebagai lelaki tua yang sudah hilang perhitungannya. Dalam erti kata lain, Aji Kitul sudah gila.
Namun, tidak jauh dari tebing sungai tempat Aji Kitul sering berlabuh, ada sebuah rumah usang kepunyaan De Misong, seorang perempuan tua yang lima tahun lebih ceria dari Aji Kitul biarpun dari segi usia biologinya, De Misong lebih tua dari Aji Kitul. Begitu kehendak Tuhan. Kebahagiaan dalaman adalah rahmah. Bukan boleh dijual beli. Mereka berdua bersahabat baik. Arwah isteri Aji Kitul adalah sepupu kepada De Misong. Ngah Tupin meninggal semasa pergi mengail di tepi sungai itu. Arwah terjatuh ke dalam sungai dan dibawa oleh arus sungai yang laju. Mayatnya tidak diketemui sampai kini. Dikatakan orang kampung bahawa setiap bulan purnama, Ngah Tupin akan muncul di tebing sungai, memancing. Ramai anak-anak muda dikatakan lari lintang pukang apabila terserempak dengan Ngah Tupin. Sejak berita ini tersebar liar, tiada lagi anak-anak muda keluar berpacaran di tebing sungai itu di bulan purnama.
"Aki, buat apa tu, Aki?" Cikgu Sahak yang baru pindah ke kampung itu dari kota menegur Aji Kitul di satu senja. Dia di dalam perjalanannya untuk bersolat Maghrib di surau di kampung itu.
Aji Kitul memalingkan mukanya dari mengamati pengailnya ke arah Cikgu Sahak. Memang anak muda ini peramah. Kadang-kadang Cikgu Sahak akan memberinya bungkusan nasi untuk makan malamnya. Anak-anak kampung yang lainnya tidak pernah berbuat demikian terhadapnya. Mereka memandangnya tetapi tidak melihatnya. Dia tidak wujud di mata anak-anak kampung yang lain yang sibuk mengadap komputer di kedai Internet Haji Dahalan.
"Mengail macam biasa. Nanti kau balik dari surau, boleh kau tolong hantarkan ikan-ikan keli ini kepada De Misong kau? Dah seminggu aku tak sedekahkan hasil tangkapan aku kepadanya." Cikgu Sahak tersenyum. Memang dialah yang sering menjadi orang perantaranya. De Misong akan terus memasak ikan-ikan keli kiriman Aji Kitul dan mengajaknya makan sekali. Memang Cikgu Sahak tidak akan melepaskan peluang ini. Dia yakin rezeki halal jika tidak ditolak akan bertambah berlipat ganda. Tetapi dia juga tahu bahawa rezeki yang haram, walau sebanyak manapun tidak boleh dibawa sampai ke mati. Malah, tidak pernah cukup. Juga, tidak pernah memberi ketenangan jiwa.
Cikgu Sahak selalunya dia pergi menziarah De Misong dengan Tok Siak surau. Walaupun tua dan bertaraf nenek kepadanya, Cikgu Sahak tetap berhati-hati agar jangan sampai orang kampung menabur fitnah bahawa dia telah menjadi anak ikan De Misong pula. Na'uzubillah min zalik. Zaman sekarang bukan boleh berkira. Kecilkah, mudakah, tuakah,isteri orangkah, suami orangkah seolah-olah kerangka moral sudah tiada dan tiada sesiapa yang ingin menegur jika melihat maksiat berlaku di hadapan mata. Salah satu sebab mengapa dia minta ditukarkan mengajar di kampung ialah kerana tidak tahan lagi melihat dosa-dosa dan maksiat-maksiat di kota. Selepas dia difitnahkan mencabul kehormatan seorang pelajar tingkatan lima, dia sudah serik. Walaupun pihak berwajib akhirnya mendapati Cikgu Sahak tidak bersalah, Cikgu Sahak benar-benar serik. Jika manusia enggan dididik (pelajar itu adalah seorang bohsia yang cuba diasuhnya supaya menjadi manusia biasa tetapi sebagai protesnya telah menuduh Cikgu Sahak sebagai pencabul kehormatannya) maka dia akan berhijrah ke tempat yang benar-benar memerlukannya. Kampung Pokok Cempaka, kampung Aji Kitul, adalah sebuah kampung yang agak terpinggir. Kebanyakan anak-anak muda sudah meninggalkan kampung untuk bekerja di kota-kota lain termasuk menjadi buruh di Singapura kerana tawaran gaji yang lebih lumayan di samping kebebasan sosial yang tidak dipantau. Kampung yang majoriti penduduknya adalah Melayu dan beragama Islam, juga mempunyai kelompok minoriti kaum Cina dan India yang rata-ratanya petani dan penoreh getah.Di dalam kelasnya sendiri, pelajar cemerlangnya ialah Ek Kang, anak seorang pekebun sayur dan Sami, anak seorang mandur ladang getah yang berhampiran. Baru beberapa hari yang lalu, Cikgu Sahak membantu mereka mengisi borang secara online untuk masuk ke universiti tempatan. Cikgu Sahak terpaksa menggunakan komputer ribanya kerana komputer sekolah terlalu perlahan sambungan internetnya. Seringkali pula terputus-putus. Ini juga bermakna maklumat di kawasan-kawasan di pendalaman seperti Kampung Cempaka ini sampai agak lambat dan kerana ini, mungkin juga tidak relevan lagi.
"Aki ikut sahaja saya dan Tok Siak makan malam di rumah De Misong nanti", Cikgu Sahak mengusik Aji Kitul seperti biasa.
Haisssh kamu ni....De Misong tidak sukakan aku, kata Aji Kitul terbatuk-batuk.
"Tapi semua orang kata De Misong tu kawan baik Aki. Girlfriend Aki, kata mereka", Cikgu Sahak mencuba nasib lagi untuk mengetahui lebih lanjut tentang lelaki tua yang penuh misteri ini.
"Nanti bila kamu balik dari rumah De Misong kamu, kamu singgah di sini semula. Nanti aku ceritakan kesemuanya. Kamu jangan datang dengan Tok Siak. Aku menyampah dengannya. Kamu datang seorang."
Berderau darah Cikgu Sahak. Dia melihat ke langit. Bulan purnama. Sebaik pulang dari rumah De Misong dan selepas selesai solat Isyak di surau, Cikgu Sahak terus ke tebing sungai dan perlahan-lahan melangkah masuk ke dalam perahu Aji Kitul.
"Sshhh...kau jangan bising sangat pergerakan kau itu", Aji Kitul mengingatkan Cikgu Sahak.
Cikgu Sahak duduk perlahan-lahan di sebelah Aji Kitul. Dia menunggu Aji Kitul bersuara sebelum ingin dia memulakan. Sejam. Dua jam berlalu. Aji Kitul tidak berkata-kata. Matanya terus melampaui hitam malam. Udara pekat dengan kesunyian. Nyamuk juga tidak berani hinggap pada kedua-duanya. Cikgu Sahak yakin Aji Kitul ini banyak ilmunya. Masakan tiada seekor nyamuk yang berdesing di telinga mereka.
"Aki.." bisik Cikgu Sahak, tidak lagi sabar.
"Hmmph?" Bisik kembali Aji Kitul.
"Ceritalah!"
"Apa yang kamu nak tau?"
"De Misong. Aki janji tadi nak ceritakan semuanya."
Diam.
Aji Kitul diam sahaja. Matanya masih mencari sesuatu di penghujung gelap malam itu.
"Aku dulu kelasi kapal. Kata orang, at every port, there is a woman".
Terkejut besar Cikgu Sahak mendengar Aji Kitul berbahasa Inggeris. Tetapi dia harus jangan menunjukkan sebarang reaksi. Bimbang nanti akan mati angin Aji Kitul ingin bercerita.
Ketika itu, Aki dah berkahwin dengan Ngah Tupin, sepupu De Misong. Mereka berdua memang rapat. Macam adik beradik. De Misong salahkan aku bila Ngah Tupin hilang dibawa arus deras sungai ini. Dia tuduh aku tidak bertanggungjawab. Dia tuduh memang aku sengaja ingin Ngah Tupin mati kerana tergila-gilakan Cik Kiambang, janda beranak dua di hujung kampung ini. Aku ini bekas kelasi. Aku sudah bosan mengejar perempuan sekembalinya aku ke kampung untuk tua bersama isteri kesayanganku, Ngah Tupin. Tapi De Misong kau tidak percaya. Akhirnya aku nikahi jua Cik Kiambang. Alang-alang hidup difitnah, baik aku jadikan ia realiti agar puas hati semua orang. Rupa-rupanya jangkaan aku meleset. Cik Kiambang ini bukan wanita yang baik. Dia yang ingin menjadi suamiku. Bukan isteri. Aku keluar malam, dia keluar malam. Aku tidur siang, dia tidur sampai ke senja. Rumahtangga tidak akan damai begitu. Apabila orang kampung menangkap basah Cik Kiambang dengan Cina jual getah, aku dengan lapang hati menceraikannya dengan talak tiga. Kata orang, hanya satu talak yang gugur tetapi aku tidak ingin nak rujuk semula dengannya. Bukan boleh ku tumpang hidupnya".
Cikgu Sahak mendengar dengan asyik pengembaraan hidup Aji Kitul. Cerita Aji Kitul macam gosip di ruang akhbar tabloid tetapi dia terpegun. Hebatnya hidup seorang tua bernama Aji Kitul ini.
"Habis tu Aki? Apa yang Aki buat duduk di dalam perahu setiap bulan mengambang seperti malam ini? "
"Aku menunggu Ngah Tupin pulang."
Bulu roma Cikgu Sahak tiba-tiba meremang. Ingin sahaja dia bangun dan lari sekuat-kuat hatinya keluar dari perahu Aji Kitul. Seperti dibaca fikirannya, Aji Kitul pantas menangkap dan memegang erat lengan Cikgu Sahak. Cikgu Sahak terperangkap. Sempat dia melihat jam tangannya. Sudah 12 tengah malam.
"Itu dia, Ngah Tupin kau dah sampai! Kau bernasib baik malam ini!"
Aji Kitul bangun berdiri. Lengan Cikgu Sahak dilepaskan kerana Aji Kitul sekarang menghulurkan kedua-dua tangannya ke malam yang pekat, seolah-olah menyambut kedatangan seorang puteri. Menyambut kepulangan seseorang yang begitu lama dinantinya. Kepulangan Ngah Tupin.
Perlahan-lahan, Cikgu Sahak mengundurkan diri dan keluar dari perahu itu sementara Aji Kitul sedang kemaruk memeluk Ngah Tupin dan menari-nari dengan kekasih hatinya. Cikgu Sahak terjatuh di tebing sungai. Habis baju Melayunya basah dan terkena lumpur. Dia bangun dan meraba-raba punggungnya. Mengibas-gibas lumpur yang basah. Kemudian dia tidak tunggu lama lagi. Terus memanjat basikalnya dan berkayuh selaju boleh. Tetapi di satu jarak yang agak selesa dan dikira selamat, Cikgu Sahak menoleh ke belakang. Dari jauh, Aji Kitul masih memeluk tubuhnya sambil tersenyum dan mengusap-usap rambutnya sendiri.
Sampai di kedai Haji Dahalan di mana Tok Siak dan anak-anak muda yang lain masih berkumpul, masing-masing dengan aktiviti malam mereka (yang tua bermain dam sambil menghirup kopi manakala yang muda melekap di komputer sama ada bermain permainan di internet, berjudi atau membuang masa bersembang dengan orang yang tidak mereka kenali).
"Ai Cikgu, pucat nampak muka Cikgu? Cikgu terjumpa dengan Ngah Tupinkah?" Mahmud, pelajar corot di kelasnya mengusik Cikgu Sahak. Usikannya disambut gelak ketawa semua di kedai Haji Dahalan termasuk Tok Siak dan Haji Dahalan sendiri.
Cikgu Sahak tidak bekata apa-apa. Biarlah apa yang dialaminya sebentar tadi hanya berakhir dengannya. Penduduk kampong tidak akan faham. Mereka juga tidak akan peduli perihal seorang tua yang kesunyian.
Yang hanya menanti mati.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sastera/20130113/sa_01/Pengembaraan-Aji-Kitul#ixzz2I2KFYxsh
© Utusan Melayu (M) Bhd